Sunday, September 13, 2009

Hidangan berbuka hari ini: Tom yam, Kerapu 'Sweet Sour'... 2

Akhirnya, saya selamat sampai ke destinasi, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Kajang lebih kurang pukul 7 tepat. Alhamdulillah, sampai juga. Dapatlah berbuka puasa bersama-sama rakan Alumni yang hadir.

Saya jarang pergi pejabat agama ni. Pada saya, selain mereka yang bertugas di pejabat agama daerah seperti YDP Alumni, Ustaz Amin; ada 2 saja tujuan utama orang pergi ke sini, pertama untuk mendirikan rumah tangga (bernikah) dan kedua untuk meletakkan titik noktah dalam rumah tangga mereka (bercerai).Tapi hari ini, bukan untuk bernikah jauh sekali untuk bercerai, saya menjejakkan kaki ke pejabat agama daerah Hulu Langat untuk berbuka puasa.

Dari kejauhan, ternampak sekumpulan anak gadis yang ayu-ayu dan manis belaka berlegar-legar di perkarangan bangunan pejabat agama. Terlukis kesantunan, terserlah kesopanan mereka. Timbul persoalan siapa gerangan mereka?

Persoalan saya dijawab oleh Fazali yang berperanan selaku Bendahari program. Rupanya semuanya hadir untuk menjayakan majlis berbuka puasa ini. Mereka daripada batch Fazali yang satu tahun lebih muda dari saya. Tahniah Fazali, ramai juga batch anda yang hadir untuk memeriahkan dan menambahkan keberkatan majlis ini.

Hampir berbuka puasa, Abang Huzairi selaku pengarah program hadir bersama keluarga beliau. Ditambah dengan bayangan gurauan Cikgu Anuar, abang Asydi, memang gamat la jadinya. Ustaz Amin hanya mampu tersenyum. Apabila azan berkumandang, selepas alunan doa, kami bersama-sama berbuka puasa di dalam surau Pejabat agama. Cukuplah sekadar kurma, air kotak dan sedikit kuih-muih.



Syukur padamu ya Allah. Alhamdulillah, saya bersyukur saya dapat berpuasa dan dapat berbuka. Tak terbayang saya bagaimana agaknya saudara-saudara Muslim kita di tempat lain yang berpuasa dan tidak berbuka langsung, bukan sehari malahan bertahun-tahun lamanya lantaran mereka tidak mampu disebabkan oleh faktor peperangan, kemiskinan, penindasan dan kezaliman. Tak mampu juga saya untuk membayangkan manusia-manusia yang mengaku Islam tetapi tidak bebuka lantaran mereka langsung tidak berpuasa tanpa alasan yang munasabah, nauzubillah. Sayang, seribu kali sayang, mereka langsung tidak dapat menghayati keindahan Ramadhan.

Akhirnya, majlis berbuka puasa Alumni berakhir. Cukuplah sekadar kurma, air kotak dan sedikit kuih-muih. Semoga kita berjumpa lagi pada majlis alumni yang akan datang. Wassalam.

No comments: