Friday, September 4, 2009

Al-Quran Mendidik Ummah - Sempena Nuzul Al-Quran

Ta’rif al-Quran
Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis dalam beberapa naskhah mashaf dan dipindahkan daripada baginda SAW dengan riwayat yang mutawatir. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan bahasa.
Hubungan al-Quran dan as-Sunnah
Kebanyakan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.
Al-Imam Al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu ‘Atiyyah, katanya: “Ketika wahyu turun kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah SAW samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah SWT jua. Allah SWT telah berfirman:
“Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.” (an-Najm: ayat 3-4)
Kehidupan Rasulullah SAW adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya:
“Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran.”

Sumber pembentukan ummah
Sumber pembentukan ummah Islamiyyah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah SAW adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.
Rasulullah SAW adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti ataupun arahan-arahan.
Didikan al-Quran serta natijahnya
Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu-padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan oleh Allah SWT) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah.” (‘Ali Imran: ayat 110)
Proses pembentukan adalah Iradah Allah SWT
Ummah terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiyyah Rasulullah SAW berdasarkan wahyu Allah SWT. Tarbiyyah Rasulullah S.A.W. berjalan selama 23 tahun - 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiyyah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyarakat dan daulah Islamiyyah yang dibentuk oleh Rasulullah SAW.
Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah SWT. Jika Allah SWT mahu, Allah SWT boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah SWT tidak sedemikian. Allah SWT menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembinaan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematangan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Quran yang beransur-ansur. Allah SWT menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiyyah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.
Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah SWT untuk membina aqidah dan membentuk ummah, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah SWT yang tidak boleh dipandang sepi. Firman Allah SWT:
“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (al-Isra’ : ayat 106)
Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah SWT dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.
Kemuncak natijah
Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Quran telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berjiwa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah SWT semata-mata.
Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliyyah sesuatu yang tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah SWT.
Setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah SAW ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Perhatikanlah sikap Mu’az bin Jabal r.a. yang menjadi wakil Rasulullah SAW ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah SAW telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud, “Wahai Mu’az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemukakan sesuatu masalah kepadamu?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah SAW.” Baginda bertanya lagi, “ Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?” Jawab Mu’az, “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan.” Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Alhamdulillah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasulullah SAW mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah SAW.”
Jawapan yang diberikan oleh Mu’az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah SAW adalah syari’at Allah SWT sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi’r al-Ma’unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.

- artikel oleh maahad darul quran, rusila

No comments: