Thursday, October 22, 2009

Pertandingan Mencipta Logo/Lambang/Bendera Persatuan

Persatuan Alumni SAMTEN akan mengadakan satu Pertandingan Mencipta Logo Persatuan Alumni SAMTEN. Sehubungan itu, persatuan dengan sukacitanya menjemput sesiapa yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut (rujuk syarat pertandingan).


HADIAH-HADIAH pertandingan:

Pertama :Wang bernila RM200 beserta sijil penyertaan.

Kedua :Wang bernilai RM150 beserta sijil penyertaan.

Ketiga :Wang bernilai RM100 beserta sijil penyertaan



Syarat-Syarat :

    1. Pertandingan ini terbuka kepada semua bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Hulu Langat yang pernah menuntut di sekolah berkenaan dari 1983 hingga 2008, kakitangan serta guru yang sedang dan pernah mengajar di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat.
    2. AJK Tertinggi Persatuan ALUMNI dan Jawatankuasa Pemilihan Pertandingan tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini.
    3. Penyertaan dibenarkan sama ada secara individu atau berkumpulan.

    4. Logo ciptaan hendaklah mengandungi tiga warna sahaja.
    5. Bentuk logo adalah bebas dan tiada unsur-unsur yang menyalahi mana-mana undang-undang ataupun menyinggung perasaan mana-mana pihak.
    6. Sila sertakan keterangan pemilihan warna dan bentuk logo yang dipilih dalam Arial font bersaiz 14.
    7. Logo hendaklah dicetak atau dilukis di atas kertas bersaiz A4 menggunakan tiga warna pilihan beserta ‘soft copy’ dalam bentuk cakera keras atau diemail kepada alamat email rasmi persatuan di alumni_samten@yahoo.com.
    8. Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pertandingan adalah muktamad. Sebarang rayuan tidak akan dilayan.
    9. Semua penyertaan hendaklah sampai kepada Jawatankuasa Pemilihan Pertandingan selewat-lewatnya pada 17 DISEMBER 2009 (Khamis).
    10. Keputusan pertandingan akan dimaklumkan kepada pemenang dan disebarkan melalui blog rasmi persatuan selepas dua minggu daripada tarikh tutup penyertaan.

* Hadiah dan Syarat penyertaan adalah tertakluk kepada perubahan.

Monday, October 5, 2009

Notis Perjumpaan Hari Raya 2009 (Terkini)


Assalamualaikum
....



Persatuan Alumni SAMTEN akan mengadakan Perjumpaan Hari Raya 2009 seperti berikut:

Tarikh : 17 Oktober 2009 (Sabtu)
Masa : 6.50 ptg
Tempat : Dewan Az-Zamakhsyari
Kupon : RM20.00 (Sumbangan kepada persatuan)


Semua bekas pelajar SAMTEN (1983 - 2008), guru-guru dan kakitangan SAMTEN dijemput hadir ke Perjumpaan Hari Raya Persatuan Alumni 2009.

Untuk maklumat lanjut dan pengesahan kehadiran, sila hubungi:

En. Fazali 019-215 8733, Ust. Huzairi 013-347 9709 dan Cik Salizan 017-367 1949.

* Kupon boleh didapati daripada AJK Tertinggi Persatuan

Aturcara (Dikemaskini)

6.50 petang Ketibaan hadirin

7.03 malam Solat Maghrib berjemaah

8.11 malam Bacaan Yaasin dan tahlil

8.30malam Solat Isya’ berjemaah

Persembahan multimedia

Ucapan aluan oleh Yang Dipertua

Jamuan makan

Acara selingan:
Ucapan Selamat Hari Raya dan lagu raya

Cabutan bertuah/ permainan

Sesi bergambar

Bersurai






* Sila ambil maklum, penjualan kupon berakhir pada 13 Oktober 2009. Adapun selepas itu sila berunding dengan 3 orang pegawai di atas.

*Sebarang sumbangan untuk menjayakan majlis amatlah dihargai dan dialu-alukan dan didahului dengan ucapan terima kasih.

*Kepada bekas pelajar SAMTEN yang membaca notis ini diharap dapatlah disebarkan kepada rakan-rakan yang lain.

* kepada sesiapa yang bekerja sekitar KL dan nak beli kupon sumbangan jamuan hari raya, boleh hubungi sdr. abufawwaz ditalian 019-3802496, sedia ke tempat kerja anda.

* Kupon sumbangan jamuan hari raya mula dijual pada hari rabu (7 Okt. 2009) InsyaAllah.

Friday, September 18, 2009

Hidangan berbuka hari ini: Tom yam, Kerapu 'Sweet Sour'...3


Akhirnya, majlis berbuka puasa Alumni berakhir. Cukuplah sekadar kurma, air kotak dan sedikit kuih-muih. Semoga kita berjumpa lagi pada majlis alumni yang akan datang. Wassalam......

Eh, macam ni saja? Sempoi betul! Kurma, air, kuih-kuih, pergi mana-manapun boleh dapat betul tak?
Memang betul! Cuma nikmat ukhwah, berbuka secara berjamaah, berkumpul kerana Allah atas dasar pernah menuntut ilmu di taman yang sama, SAM Hulu Langat amatlah bermakna; yang tidak dapat dilakar mahupun digambarkan melalui dunia blogging. Fuh, ayat!

Cerita sebenarnya bermula di sini...
Selepas azan berkumandang, hadirin berbuka,
cukuplah sekadar kurma, air kotak dan sedikit kuih-muih.. Kemudian selepas solat maghrib berjemaah di surau pejabat agama yang bentuknya unik (comel dan bersegi-segi), program diteruskan lagi. Kali ini destinasi yang dituju ialah Malee Classic berhampiran Masjid Sungai Kantan . Maka ini barulah bersesuaian dengan tajuk; Hidangan berbuka hari ini: Tom yam, Kerapu 'Sweet Sour'....

Inilah sebenarnya yang berlaku...

















Mengikut tentatif program, majlis diteruskan lagi dengan Solat isya' dan Tarawih berjamaah disusuli dengan tazkirah...walaubagaimanapun tidak dapat saya gambarkan lagi melalui kata-kata mahupun ayat kerana saya terpaksa bergegas pulang.

Apapun tahniah buat Alumni terutama buat portfolio riadhah dan rekreasi di bawah pimpinan saudara Huzairi dan bantuan saudara Fazali kerana berjaya menganjurkan program berbuka puasa ini. Mungkin kehadirannya tidak seberapa, makanannya tidak se'grand' mana tetapi buat permulaan bagi Persatuan Alumni SAM Hulu Langat yang masih hijau, yang masih dalam proses bertatih, ini merupakan acara yang signifikan untuk kelangsungan Alumni. Di masa yang akan datang, pihak Alumni mengharapkan penglibatan yang lebih 'meriah' lagi daripada bekas-bekas pelajar SAM Hulu Langat.


Kita berjumpa lagi di Majlis Aidilfitri Alumni 2009. Wassalam.

Wednesday, September 16, 2009

Sucikan Jiwamu

Ramadhan ini sering kita diberikan peringatan tentang kelebihan Ramadhan, keistimewaan puasa, peritiwa penurunan al-Quran dan malam Lailatul Qadar tidak kira la waktu tazkirah lepas solat tarawikh, khutbah mahupun artikel-artikel yang dibaca.

Jangan juga kita lupa 1 perkara yang amat sinonim dengan bulan Ramadhan ini.
Apakah dia perkara itu?

Kalau jawapan yang diberikan ialah bazar Ramadhan dan Moreh, anda memang tepat. Bulan lain mana ada, ye tak? Inilah keistimewaan Ramadhan....

Sebenarnya bukanlah bazar Ramadhan yang ingin disentuh di sini. Jujur saya mengatakan dalam 25 hari kita berpuasa, hanya sekali sahaja saya ke bazar Ramadhan. Jadi tidaklah molek kiranya untuk nukilkan tentang bazar Ramadhan ni. Kalau nak tahu sangat bazar mana yang best tontonlah Shamsul@ bazaar ramadhan setiap petang kat TV3.



Ramadhan seperti mana yang kita maklum, dikaitkan dengan kewajipan berzakat terutamanya Zakat Fitrah. Zakat berasal dari perkataan tazkiyah atau dalam bahasa 1malaysianya
penyucian jiwa. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah At-taubah, ayat 103:

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan akhlak mereka dari (akhlak yang buruk).


Menurut Syeikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Zaad ala at-thariq atau Bekalan di Jalan Da'wah; zakat, sedekah dan infaq adalah pengabdian dan pendekatan diri kepada Allah lantaran manusia ini secara fitrahnya mencintai harta dan ingin memiliki segalanya. Rasullullah SAW sendiri bersabda mengenai sifat manusia, sabdanya:


Jikalau seorang anak Adam memiliki satu lembah emas nescaya ia inginkan satu lembah yang lain pula. Pandangan mata anak Adam tidak dipenuhi melainkan dengan tanah.

Seorang Muslim memandang harta sebagai wasilah atau pun jalan yang digunakan untk mentaaati Allah bukanlah sebagai matlamat kehidupan. Harta di tangan kita digunakan untuk membantu kita, janganlah ia sampai meresap ke dalam hati, memperdaya kita agar dihimpunkan, dijaga dan dikembangkan sehingga tiada apa yang difikirkan selain harta. Allah mengeji sifat cintakan harta di dalam Surah al-Humazah,

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya......




Justeru Zakat difardhukan untuk melatih jiwa mengalahkan rasa cinta terhadap harta. Zakat mengajar seorang muslim bahawa kadar rezeki seseorang tidak sama. Semuanya adalah ketentuan takdir Allah kerana suatu hikmah yang Allah lebih ketahui rahsianya.

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya dan (Allah) juga menyempitkannya..
(Al-Ra'd: Ayat 26)

Ada saudara-saudara kita yang dilahirkan mewah dengan harta; ada yang miskin ketika lahir, tetapi kaya kerana takdir Allah; ada yang binbo (miskin dalam bahasa Jepun) sehingga ke akhir hayat; ada yang sederhana saja kehidupannya, tidaklah mewah tetapi tidaklah melarat.....semuanya adalah takdir Allah.
Janganlah kita sombong seperti Encik Qarun (pemilik harta yang tertanam di bumi ini) yang mengungkapkan, "Aku kaya sebab pengetahuan dan kekayaan yang ada padaku".

Harta boleh menjadi wasilah untuk mendapatkan kebaikan dan ganjaran yang besar apabila ia dihimpun dari sumber yang halal, dibelanjakan di jalan Allah dan ditunaikan hak Allah padanya. Ia juga boleh menjadi wasilah kejahatan dan mengundang kemurkaan Allah dan azabNya di akhirat, apabila seseorang itu tidak menjejaki yang halal ketika mengumpulkannya dan tidak menunaikan hak Allah padanya.


Parameter kejayaan Mu'min bukan terletak pada hartanya, profesionnya (Dr, IR, Ustaz, Cikgu, lawyer, ahli muzik) mahupun pangkatnya (Tuanku, Sultan, Tan Sri, Tun, Dato', Datin) tetapi pada taqwanya seperti firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:


Sesunguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya dia antara kamu
..



Jadi kesimpulannya daripada apa yang saya nukilkan ini, tunaikanlah zakat.
Sucikanlah jiwamu....

Artikel ini dinukilan berdasarkan tulisan Syeikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Zaad ala at-Thariq di bawah topik dalam
Ibadat zakat terdapat bekalan, hasil terjemahan Ahmad Hassan Mohd Nazam dan Mohd Nizam Mohd Ali. Saya olah sedikit untuk dimuatkan di sini.

Artikel ini tidak ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor. Apapun untuk kemudahan SMS taip FITRAH SELANGOR dan hantar ke 21999. Senang je kan?

Sunday, September 13, 2009

Hidangan berbuka hari ini: Tom yam, Kerapu 'Sweet Sour'... 2

Akhirnya, saya selamat sampai ke destinasi, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Kajang lebih kurang pukul 7 tepat. Alhamdulillah, sampai juga. Dapatlah berbuka puasa bersama-sama rakan Alumni yang hadir.

Saya jarang pergi pejabat agama ni. Pada saya, selain mereka yang bertugas di pejabat agama daerah seperti YDP Alumni, Ustaz Amin; ada 2 saja tujuan utama orang pergi ke sini, pertama untuk mendirikan rumah tangga (bernikah) dan kedua untuk meletakkan titik noktah dalam rumah tangga mereka (bercerai).Tapi hari ini, bukan untuk bernikah jauh sekali untuk bercerai, saya menjejakkan kaki ke pejabat agama daerah Hulu Langat untuk berbuka puasa.

Dari kejauhan, ternampak sekumpulan anak gadis yang ayu-ayu dan manis belaka berlegar-legar di perkarangan bangunan pejabat agama. Terlukis kesantunan, terserlah kesopanan mereka. Timbul persoalan siapa gerangan mereka?

Persoalan saya dijawab oleh Fazali yang berperanan selaku Bendahari program. Rupanya semuanya hadir untuk menjayakan majlis berbuka puasa ini. Mereka daripada batch Fazali yang satu tahun lebih muda dari saya. Tahniah Fazali, ramai juga batch anda yang hadir untuk memeriahkan dan menambahkan keberkatan majlis ini.

Hampir berbuka puasa, Abang Huzairi selaku pengarah program hadir bersama keluarga beliau. Ditambah dengan bayangan gurauan Cikgu Anuar, abang Asydi, memang gamat la jadinya. Ustaz Amin hanya mampu tersenyum. Apabila azan berkumandang, selepas alunan doa, kami bersama-sama berbuka puasa di dalam surau Pejabat agama. Cukuplah sekadar kurma, air kotak dan sedikit kuih-muih.



Syukur padamu ya Allah. Alhamdulillah, saya bersyukur saya dapat berpuasa dan dapat berbuka. Tak terbayang saya bagaimana agaknya saudara-saudara Muslim kita di tempat lain yang berpuasa dan tidak berbuka langsung, bukan sehari malahan bertahun-tahun lamanya lantaran mereka tidak mampu disebabkan oleh faktor peperangan, kemiskinan, penindasan dan kezaliman. Tak mampu juga saya untuk membayangkan manusia-manusia yang mengaku Islam tetapi tidak bebuka lantaran mereka langsung tidak berpuasa tanpa alasan yang munasabah, nauzubillah. Sayang, seribu kali sayang, mereka langsung tidak dapat menghayati keindahan Ramadhan.

Akhirnya, majlis berbuka puasa Alumni berakhir. Cukuplah sekadar kurma, air kotak dan sedikit kuih-muih. Semoga kita berjumpa lagi pada majlis alumni yang akan datang. Wassalam.

Saturday, September 12, 2009

Hidangan berbuka hari ini: Tom yam, Kerapu 'Sweet Sour'...



Waktu sudah menunjukkan pukul 6.10 petang. Bandar Tun Razak ke Kajang, memang tak jauh... tapi jika ditambahkan dengan kesesakan jalan raya di waktu macam ni, hai berbuka puasa di dalam kereta lagi la nampaknya. SMS abang Asydi menyatakan sekarang dia terperangkap di Giant Prima Saujana, eh biar betul mamat ni...rumah kt Jenaris pun terperangkap! Ni tak boleh jadi ni... sempatla saya buka kasut dan tukarkan dengan sandal sebelum memandu terus ke Kajang. Grand Saga ke PLUS. Mana-manapun sesak. Grand Saga sesak dari Connaught ke Plaza Phoenix, PLUS mungkin tak sesak kot, tetapi menuju ke PLUS nampaknya trafik langsung tidak bergerak menuju Bandar Tasik Selatan.


6.40 petang, saya masih terperangkap di hadapan Plaza Phoenix. Saya nekad, saya dah bersedia! Bersedia untuk berbuka puasa di dalam kereta, di tengah kesesakan jalan raya. Sebotol air masak dan Wrigley's doublemint gum sudah saya letakkan awal di tempat duduk sebelah pemandu. Beginilah nasib hidup di kota.

Mujur juga jalan tidak sesak sampai ke Batu 9, bolehla saya memecut sampai ke Kajang. Namun pecutan lincir yang biasa saya rasai apabila pedal minyak ditekan kuat amatlah menghampakan. Tak sangka pula dengan pertukaran Petrol RON 97 ke 95 memberi kesan yang signifikan terhadap prestasi enjin kereta. Deruman enjin kuat, tapi pick-upnya tidak terasa. Amat mengecewakan. Pengalaman ni boleh la saya umpamakan bagai memandu kereta BMW 5 series berenjinkan Honda Cup C70. Akhirnya, dalam rungutan bertahankan sedikit kesabaran saya selamat sampai ke destinasi, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Kajang lebih kurang pukul 7 tepat.


bersambung.....

Friday, September 4, 2009

Al-Quran Mendidik Ummah - Sempena Nuzul Al-Quran

Ta’rif al-Quran
Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis dalam beberapa naskhah mashaf dan dipindahkan daripada baginda SAW dengan riwayat yang mutawatir. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan bahasa.
Hubungan al-Quran dan as-Sunnah
Kebanyakan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.
Al-Imam Al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu ‘Atiyyah, katanya: “Ketika wahyu turun kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah SAW samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah SWT jua. Allah SWT telah berfirman:
“Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.” (an-Najm: ayat 3-4)
Kehidupan Rasulullah SAW adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya:
“Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran.”

Sumber pembentukan ummah
Sumber pembentukan ummah Islamiyyah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah SAW adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.
Rasulullah SAW adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti ataupun arahan-arahan.
Didikan al-Quran serta natijahnya
Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu-padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan oleh Allah SWT) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah.” (‘Ali Imran: ayat 110)
Proses pembentukan adalah Iradah Allah SWT
Ummah terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiyyah Rasulullah SAW berdasarkan wahyu Allah SWT. Tarbiyyah Rasulullah S.A.W. berjalan selama 23 tahun - 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiyyah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyarakat dan daulah Islamiyyah yang dibentuk oleh Rasulullah SAW.
Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah SWT. Jika Allah SWT mahu, Allah SWT boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah SWT tidak sedemikian. Allah SWT menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembinaan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematangan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Quran yang beransur-ansur. Allah SWT menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiyyah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.
Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah SWT untuk membina aqidah dan membentuk ummah, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah SWT yang tidak boleh dipandang sepi. Firman Allah SWT:
“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (al-Isra’ : ayat 106)
Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah SWT dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.
Kemuncak natijah
Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Quran telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berjiwa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah SWT semata-mata.
Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliyyah sesuatu yang tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah SWT.
Setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah SAW ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Perhatikanlah sikap Mu’az bin Jabal r.a. yang menjadi wakil Rasulullah SAW ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah SAW telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud, “Wahai Mu’az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemukakan sesuatu masalah kepadamu?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah SAW.” Baginda bertanya lagi, “ Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?” Jawab Mu’az, “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan.” Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Alhamdulillah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasulullah SAW mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah SAW.”
Jawapan yang diberikan oleh Mu’az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah SAW adalah syari’at Allah SWT sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi’r al-Ma’unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.

- artikel oleh maahad darul quran, rusila

Thursday, August 13, 2009

Majlis Sambutan Aildilfitri

InsyaAllah, Jawatankuasa Alumni SAMTEN akan mengadakan Majlis Sambutan Aildilfitri Persatuan Alumni Sekolah Agama Menengah Hulu Langat 2009 pada 17 Oktober 2009 (28 Syawal), 8.30 malam di Dewan Azzamakhsyari, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat.



Bersama kita eratkan ukhwah, bersama kita bermaaf-maafan, bersalam-salaman (eh macam lagu raya pulak!).

Majlis ini akan diserikan lagi dengan kehadiran guru-guru yang telah banyak mendidik kita.
Apa khabar mereka agaknya? Tidak rindukah kita dengan Cikgu Hasbollah (Cikgu Abol), Ustaz Hasmuri, Ustazah Jamaliah, Cikgu Zaini, Cikgu Rosmilah, Cikgu Zain, Cikgu Atifah, Ustazah Jamaliah, Ustaz Manaf, Ustaz Arsyad dan banyak lagi (kalau tulis satu persatu penuh blog ni,huhu)...masih terngiang-ngiang lagi suara mereka dalam sanubari, masih segar lagi ingatan mereka pada diri.

Apa khabar agaknya rakan-rakan kita?Rakan-rakan satu kelas, satu batch, satu dorm, kawan yang sama-sama fly (ops!). Berapa orang anak mereka? Dah berumahtangga ke, belum? Banyak persoalan yang ingin kita tanya betul tak?

Mungkin ada ketidakpuasan hati antara kita yang perlukan penjelasan, penerangan, huraian?
Hmm, buang yang keruh ambillah yang jernih. Lupakan sengketa lama.

Apapun kita harapkan semoga Majlis Sambutan Aildilfitri ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Bersama-sama kita meriahkan majlis ini. Wassalam.

Sebarang perubahan dan perkembangan program ini akan diupdatekan dalam blog ini, InsyaAllah.

Ada sebarang pendapat dan idea? Jangan malu-malu, jangan segan-segan taipkan saja kata-kata anda pada ruangan komen di bawah ini.

Tuesday, August 11, 2009

Album kenangan bowling 2

Di sini ada gambar bowling lagi, jangan marah ye jikalau kualiti gambar tidak memuaskan. Jangan marah juga jika ada sesetengah individu yang muka dia saja yang ada dalam gambar, muka orang lain kurang. Mungkin dia rasa diri dia fotogenik kot, hehehe. Jangan marah tau, sekadar gurauan.

Ada aksi yang kita hendak lihat dan ada aksi yang kita tak ingin lihat pun. Apapun terpulanglah kepada yang si pelihat sama ada perlu di lihat atau tidak...



Hadiah-hadiah yang ditawarkan, hamper je la. InsyaAllah kalau banyak sponsor di masa akan datang kita hadiahkan kereta pula.


Putera dan puteri kesayangan abang Asydi. Cute macam papa dia juga.
Buat ape tu dik ooi!


Jejaka perasan, hehe. 2 orang kat tengah tu dah kahwin dah, 2 orang kat tepi tu bujang lagi.

Eh dik, ko ingat ko ni handsome, ko boleh menang? Abang ni da taraf pro tau...

Bilalah giliran kitorang nak ambik hadiah ni?

Kita sarapan dulu....


Ni macam kumpulan gagak hitam yang hendak mengacau merak kayangan berbaju hijau.

Baling asyik masuk longkang je, baik aku makan kat sini.

Nah, terimalah balingan halilintar membelah bumi.

Peragawan-peragawan tidak bertauliah mempamerkan hadiah tempat ketiga.

Kehangatan bowling masih belum terasa. Ramai peserta sedang merehatkan minda sebelum game yang pertama.


Diorang ni lagi?Kali ini untuk hadiah naib juara pula.

Yeah, strike lagi. Kacang sungguh.

Mengapakah bolaku masuk longkang, mengapa perkara ini terjadi, mengapaaaaa!!!

Ni Ustazah tunjukkan cara mengangkat bola dengan betul, tengok ni tau.

Ambik ni bola spin 234 darjah!

Waa, adik pun nak baling jugak bola bowling tuu, waa (kena baca dengan nada yang sendu).

Kita kena menang ni Ustaz, kita kena gunakan senjata rahsia kita.

Akulah jejaka yang akan membolot anugerah peserta lelaki terbaik, hahahahaha.

Makluman: Kebanyakan caption yang diletak adalah sekadar gurauan semata-mata. Kalau ada yang berkecil hati penulis terlebih dahulu menghulur tangan, memohon maaf. Sekian